SEJARAH SENI SILAT SIKU 12 P.PINANG

Sejarah Seni Siku 12
GAMBAR MOYANG SAYA (TOK DADA) - SHAIK GHULAM MEAH BIN SHAIK AHMAD MEAH


Sejarah Seni Siku 12
By
 Mr Penang Press –
16 January 2019
5172


Seni ini diasaskan oleh Shaik Ghulam Meah bin Shaik Ahmad Meah. Sedikit yang saya ketahui mengenai tokoh ini. Beliau hidup diawal abad ke 20 iaitu sekitar 1905an seorang ulama yang terkenal tetapi seorang juru ukur yang berkhidmat dengan Majlis Perbandaran (Council Municipal) ketika zaman penjajahan British.

Kerana itu nama beliau tidak kita temui dalam mana-mana buku atau makalah yang membicarakan sejarah dan peranan tokoh-tokoh agama di Pulau Pinang.Beliau juga bukan bergelar ‘Haji’ kerana tidak pernah diketahui dari mana-mana sumber menyatakan yang beliau pernah menunaikan ibadah haji pada zamannya.
Syeikh Ghulam Meah adalah berdarah campuran Melayu,Arab,Pashtun dan beberapa lagi. Di Tanah Melayu atau tepatnya di Pulau Pinang ini beliau bolehlah dikategorikan sebagai keturunan peranakan atau Jawi Peranakan.Beliau seorang yang amat meminati seni bela diri dan banyak mempelajari berbagai jenis disiplin beladiri.
Dikatakan beliau mempelajari 17 jenis senibeladiri termasuklah beberapa jenis silat melayu.Beliau digelar “DADA” iaitu dari bahasa Urdu yang bermaksud “DATUK” atau “TOKWAN” dalam bahasa pertuturan harian melayu terutama melayu utara.Dan dikalangan masyarakat setempat ketika itu memanggilnya dengan panggilan “Mamu Dada”.
Sepertimana salah seorang tokoh persilatan melayu iaitu Dato’ Meor Abdul Rahman yang mengasaskan Silat Seni Gayong,yang pantang dicabar serta sentiasa menyahut cabaran dari sesiapa juga dalam usahanya menaikkan nama silat melayu terutama Seni Gayong, begitu juga dengan tokoh ini.
Dada diceritakan sering terlibat dalam beberapa pertarungan dengan beberapa orang yang mahir dalam seni bela diri. Ini mungkin kerana ramai mengetahui minatnya yang mendalam serta berpengalaman mempelajari berbagai jenis seni beladiri, kerana itulah beliau sering dicabar dalam beberapa pertarungan.
Dalam berbagai cerita pertarungan beliau dengan pencabarnya,ada juga diceritakan tentang pengalaman beliau tewas. Berdasarkan pengalaman beliau bertarung, beliau sering membuat kajian dan ujikaji mengenai teknik, serangbela dan pukulan yang lebih efektif dan sesuai untuk beliau gunakan sebagai ‘pakaian’ diri.

Maka dari sini timbullah satu sistem atau kaedah beladiri yang berasaskan dari senaman yang pada ketika itu beliau menamakannya dengan nama Senaman Siku.
Daripada Senaman Siku, ada beberapa tingkatan peringkat yang membentuk sistem yang kelihatannya seakan serupa tetapi tetap berbeza. Maka dari sini wujudlah nama Silat Halalintar, Seni Pelaga dan Silat Tok Kudung.
Mudah cerita, Silat Halalintar, Seni Pelaga dan Silat Tok Kudung adalah 3 sistem yang berbeza tetapi berasaskan daripada Senaman Siku. Manakala senaman Siku pula berasaskan daripada 12 jenis teknik asas kaedah penggunaan siku.
Maka kerana itulah muncul nama umumnya ‘Siku 12’. Jadinya,Siku 12 adalah sistem hybrid hasil gabungan berbagai jenis kaedah yang menggunakan siku sebagai senjata utamanya.
Akan tetapi,terdapat juga cerita yang menyatakan bukan sekadar 3 sistem atau silat yang ada dalam Senaman Siku tetapi lebih dari itu. Bagaimanapun, perkara ini tidak dapat saya sahkan dari mereka-mereka yang mewarisi Senaman Siku.
Hanya yang diketahui,daripada 12 jenis kaedah pukulan siku akan berkembang menjadi gandaan dari asalnya 6, 12, 24, 48 dan seterusnya. Dada meninggal dunia pada tanggal 6 Jun 1947 di usia yang masih muda iaitu 42 tahun.
Bagaimanapun,beliau sempat mencipta sejenis senaman yang akhirnya mampu diaplikasikan sebagai sejenis seni mempertahankan diri yang diiktiraf oleh masyarakat ketika itu sebagai Silat Kelahiran Pulau Pinang.
‘Siku 12’ menjadi kebanggaan generasi lama Pulau Pinang malah saya secara peribadi pernah ditegur oleh seorang warga emas di Kompleks Rumah P.Ramlee dengan berkata “Cek…. jangan berani mengaku anak Pulau Pinang kalau tak belajaq Siku 12”.
Ini membuktikan bahawa Siku 12 memang pernah menjadi kebanggaan masyarakat Pulau Pinang satu ketika dulu hingga kini tanpa menidakkan kehebatan seni beladiri yang lain.
Murid-murid Mamu Dada.
Dada diketahui mempunyai ramai anak murid baik sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, diceritakan terdapat 6 orang murid yang mana 5 darinya yang paling terkenal. Mereka ialah:
Pak Mat Hamden atau lebih terkenal dengan nama Pak Mat Hamdan
Pak Sahak atau dikenali dengan nama Pak Sahak Kastam
Pak Bidin
Pak Ibrahim atau dikenali dengan panggilan Ibrahim Body
Haji Yahya atau dikenali dengan panggilan Pak Ya Botak
Lukman Hakim
Uniknya,kepada 6 orang muridnya ini diberi pelajaran yang berbeza antara satu sama lain tetapi masih berasaskan kepada pelajaran asalnya iaitu Senaman Siku. Selepas kematian Dada, lima muridnya membentuk jurusan masing-masing berdasarkan pelajaran yang diterima dari Dada.
Sebab itu hingga sekarang ini jika membicarakan tentang Seni Siku 12,kita akan menemui nama-nama sistem yang berasal dari kaedah dan pelajaran kelima-lima murid ini seperti ‘Siku 12 Pak Mat’, ‘Siku 12 Pak Sahak’,’Siku 12 Pak Ya’ dan sebagainya.
Biasanya sistem merujuk kepada nama-nama 5 orang murid yang terkenal tadi. Jadi,dari sini akan diketahui dari jurusan atau susurgalur mana pelajaran seseorang pengamal Seni Siku 12 itu.
Dipercayai Mamu Dada memberi pelajaran berbeza kepada murid-muridnya ini adalah berdasarkan kebolehan,bentuk fizikal dan kemahiran masing-masing. Dari perbezaan ini, beliau membentuk sistem dan pelajaran yang sesuai untuk murid-muridnya berdasarkan kelebihan mereka sendiri.
Dari sini dapat diketahui betapa guru ini dapat mengenal pasti kaedah yang sesuai untuk setiap muridnya. Dan tidak wujud soal pelajaran siapa yang lebih bagus atau asli.Semuanya adalah sama walaupun pelajaran berbeza. Sedikit juga yang saya ketahui tentang perjalanan Seni Siku 12 oleh murid-murid Mamu Dada.
Pak Mat Hamdan.
Beliau diceritakan mempunyai peribadi yang lembut,merendah diri,suka bergurau dan sering mengakui yang beliau tidak tahu bersilat. Gelanggang silat beliau terletak di Kampung Rawa dan murid-muridnya datang dari sekitar Tanjung (Georgetown).
Selain daripada diiktiraf sebagai Guru Siku 12, beliau juga adalah guru Silat Sendeng Papan Sekeping. Diceritakan,ketika trajedi 13 Mei, beliau pernah memberi perlindungan kepada seorang pekedai berbangsa Cina dari diserang dan dibakar kedainya.
Beliau tidak pernah mengakui dirinya seorang guru.Malah,beliau sering menekankan kepada muridnya bahawa beliau adalah ‘rakan seperlatihan’ mereka. Perkataan ‘rakan seperlatihan’ ini sehingga kini masih diamalkan oleh generasi jurusan beliau hingga ini sekalipun mereka mempunyai pengalaman berpuluh tahun belajar dan mengajar.
Pak Mat Hamdan meninggal dunia pada bulan Ogos tahun 1991. Pewaris ini mempunyai barisan anak-anak murid yang ramai antaranya cukup dikenali oleh masyarakat Pulau Pinang. Salah seorang darinya yang cukup terkenal ialah Allahyarham Ismail Ahmad atau lebih terkenal dengan panggilan ‘Man Cabai’.
Man Cabai diketahui seorang yang cukup berdedikasi dan tekun berlatih dan mengajar hingga ke akhir usianya. Beliau meninggal pada Disember 2011 dan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan pengasas Senaman Siku/Seni Siku 12, Mamu Dada dan juga gurunya iaitu Pak Mat Hamdan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat,Jalan Perak.
Dan guru ini diketahui pernah mempunyai murid dari luar Pulau Pinang hingga ada yang sejauh Negeri Sembilan dan Johor. Manakala salah seorang lagi anak murid Pak Mat yang masih hidup ialah Tuan Haji Zainal Abidin Syeikh Awab.
Beliau adalah pengasas dan juga guru utama Silat Tua Pulau Pinang yang mana pelajaran Siku 12 adalah salah satu silibus yang terdapat dalam Silat Tua. Beliau juga merupakan cucu saudara kepada Dada.
Pak Sahak.
Bekas seorang pegawai kastam.Diceritakan bahawa guru ini juga bersifat lemah lembut tetapi tegas dalam pengajaran. Beliau mengajar di beberapa tempat. Antara yang diketahui ialah di Kampung Kastam, Gelugor dan Air Itam. Individu terakhir yang sempat minum dengan Dada sebelum dia meninggal.
Pak Bidin.
Selain dari Siku 12,guru ini juga diketahui juga sebagai guru dan pakar Muay Thai. Beberapa tahun sebelum akhir hayatnya, beliau berpindah dan menetap di Betung, Thailand kerana isterinya berasal dari sana. Guru ini meninggal pada tahun 1995 dan dikebumikan disana.
Ibrahim Body.
Beliau diiktiraf sebagai salah seorang guru dari Dada sendiri.Seorang ahli bomba.Bagaimanapun,perjalanan aliran beliau tidak banyak diketahui orang. Saya difahamkan bahawa guru ini tidak mengajar atau membuka mana-mana gelanggang. Beliau diceritakan hanya mengajar dalam lingkungan keluarganya sahaja. Ibrahim Body meninggal pada tahun 2008.
Haji Yahya atau Pak Ya.
Guru ini mengajar di kawasan Tanjong Tokong dan berkembang sehingga Teluk Bahang. Beliau dan muridnya pernah mendaftarkan seni ini atas nama Seni Silat Petir Pulau Pinang pada tahun 1976 dan berpusat di Tanjung Tokong. Guru ini meninggal pada Oktober tahun 2010 dan disemadikan di Kepala Batas,Seberang Perai Utara
Lukman Hakim.

Tidak diketahui langsung tentang murid Dada ini. Apa yang diketahui,beliau tamat keseluruhan sistem yang ada dalam Seni Siku tetapi beliau tidak pernah diketahui pernah mengajar atau membuka mana-mana gelanggang. Perjalanan hidupnya juga tidak diketahui.
Sedikit ringkasan umum tentang Seni Siku 12.
1. Ia tidaklah dikenali dengan nama ‘Siku 12’ ketika awal kemunculannya oleh Mamu Dada melainkan dengan nama:
Senaman Siku
Silat Pelaga
Silat Halalintar
Siku Combat (Sistem ini yang banyak diajarkan kepada orang luar Pulau Pinang hingga menjadi kekeliruan dan ada yang memanggilnya Pukul Pelaga)
Nama Seni Siku 12 atau Silat Siku 12 muncul selepas kematiannya. Manakala nama Silat Tok Kudung diberikan oleh orang awam yang menjadi saksi perkelahian beliau dengan beberapa orang samseng yang mana beliau dilihat menggunakan kepantasan pusingan dan pergerakan teknik siku hingga dilihat seolah-olah seorang yang kudung.
2. Mamu Dada diketahui mempelajari berbagai jenis seni beladiri termasuk silat sebelum mencipta sistem beliau sendiri. Beliau amat menghargai jasa guru-gurunya.
Pulau Pandan jauh ketengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Dari pantun melayu lama ini,beliau merumuskan kata-kata yang sungguh menjadi kenang-kenangan murid-muridnya malah hingga ke generasi pewaris ilmunya ke hari ini iaitu “JASA TIDAK BINASA”.
Kata-kata ini sering ditekankan oleh generasi penerus ilmu beliau tak kira dari jurusan mana sekalipun.
3. Seni Siku 12 menggunakan besi padu yang panjangnya sekitar 2-2 1/2 meter panjang dengan berat sekitar 20-25kg sebagai alat bantu latihan utama. Terdapat juga besi pendek sekitar 15 inci dan juga 4 inci.
4. Antara senjata dalan seni ini pula ialah kayu panjang, pisau kembar bermata lebar dan juga tekpi. Tetapi ianya juga bergantung pada jurusan pewaris Senaman Siku itu sendiri.
5. Seni Siku 12 merangkumi seluruh tubuh sebagai senjata serangan. Sama seperti seni beladiri yang lain. Cuma senaman dan senjata anggota tubuhnya lebih kepada penekanan penggunaan siku sebagai senjata utama.
Ini dikuatkan dengan pesanan Dada yang masih menjadi pegangan pewaris Siku 12 iaitu..
“Sedetik musuh bergerak,terlintas diakal fikiran,maka SELURUH ANGGOTA TUBUH berkerja.”
6. Allahyarham Tan Sri P.Ramlee diketahui seorang yang mahir bersilat. Selain dari seni silat, beliau juga pernah menuntut Seni Siku dari rakannya iaitu Allahyarham Ahmad Dadida.
Anda kenal Ahmad Dadida? Beliau juga adalah salah seorang pelakon dalam filem-filem lakonan dan arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee keluaran Merdeka Film Studio. Masih tak dapat mengagak siapa Ahmad Dadida?
“Kapak? Ada… ada…”
“Astaghfirullahalaziim…. Siti tu ikut Ahmad Nawab??”
Mungkin anda pernah tertarik dengan dialog watak Saidin Pekak ini dalam filem ‘Keluarga 69’. Atau watak Pakcik Jebon, bapa kepada Milah dalam filem Do Re Mi.
Atau watak Karambit,salah seorang penjenayah buruan Pendekar Tantari dalam filem ‘6 Jahanam’. Pelakon watak-watak inilah Ahmad Dadida. Kemahiran P.Ramlee bermain tekpi dalam filem ‘6 Jahanam’ adalah melalui tunjuk ajar Ahmad Dadida.
Ini diakui sendiri oleh beberapa orang generasi lama Siku 12 di Pulau Pinang. Cerita ini juga turut disahkan oleh Tuan Haji Zainal Abidin dan Allahyarham Man Cabai ketika hayatnya.Oh ya.. Allahyarham Man Cabai juga adalah anak Allahyarham Ahmad Dadida.
7. Seni Siku 12 tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana sistem beladiri dari luar.Kalau ada sekalipun, pasti ada perbezaan kerana menurut beberapa orang pengamal Seni Muay Thai yang juga dalam masa yang sama adalah pengamal Seni Siku 12, tektik-teknik antara siku dalam Muay Thai dan Siku 12 pada pandangan kasarnya kelihatan sama tetapi pada kaedah aplikasi dan seni nya berbeza.
8. Dada ada menulis buku catatan peribadi tentang keseluruhan sistem yang ada dalam Senaman Siku.Buku yang diberi nama ‘King Of Fighter’ yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu diwarisi oleh Pak Sahak Kastam yang mana sekarang ini khabarnya buku itu diwarisi pula oleh murid Pak Sahak iaitu Mamu Harris yang tinggal di Air Itam.
Pak Sahak juga diketahui mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Dada. Selain dari itu,Dada ada juga menulis tentang perubatan tradisional.
9. Generasi Seni Siku 12 sekarang adalah generasi ke empat. Generasi ke tiga masih lagi hidup beberapa orang.Manakala generasi kedua iaitu generasi enam murid yang terkenal itu telah tiada lagi.
10. Siku 12 sejak awal kemunculannya dan selepas kematian Dada hanya berpusat di bahagian pulau sahaja terutama sekali di kawasan bermula dari Bayan Lepas hingga ke Teluk Bahang.
Paling banyak gelanggang seni ini terdapat disekitar Tanjong (Georgetown). Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini ada diketahui penyebaran Siku 12 ke tanah besar Seberang Perai.
Malah setakat yang diketahui… sejauh Pulau Langkawi. Manakala di Negeri Sembilan dan Johor diketahui ada juga tetapi adalah dari pelajaran Siku Combat, salah satu cabang pelajaran dalam sistem Siku 12 dan disana dikenali dengan nama Pukul Pelaga.
11. Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat yang terletak bersebelahan Masjid Hashim Yahya di Jalan Perak menempatkan ramai pewaris dan pengamal Seni Siku 12 kerana di awal kemunculan seni ini,hampir semua murid dan pelajar seni ini datang dari sekitar kawasan penempatan melayu di Tanjung (Georgetown). Malah, Mamu Dada dan juga kebanyakan muridnya juga disemadikan disini.
12. Untuk memahirkan diri dengan seni ini,seseorang itu memerlukan masa paling cepat sekurang-kurangnya dua tahun hanya untuk kefahaman dan kemahiran dalam peringkat ‘Senaman 12’ sahaja.
Bagaimanapun, hanya dengan menamatkan Senaman 12 saja sudah cukup memadai untuk digunakan sebagai ilmu seni mempertahankan diri. Untuk pelajaran seterusnya seperti Silat Halalintar atau Silat Pelaga memerlukan beberapa tahun lagi untuk kemahiran dan kefahaman.
Dari sinilah pecahan tiap anggota tubuh diajar sebagai senjata dan juga kaedah pecahan tapak. Mengikut cerita dari orang-orang lama termasuk dari guru-guru Siku 12 tidak ramai yang meneruskan kesinambungan Senaman Siku 12 ke peringkat seterusnya.
Kebanyakannya akan berhenti setakat Senaman 12 sahaja. Kesimpulan yang boleh saya terjemahkan mengenai situasi ini yang bersesuaian dengan salah satu adegan filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee iaitu Nujum Pak Belalang…..
Banyak-banyak: Memang banyak orang pernah mendengar tentang Seni Siku 12 ini.
Sedikit-sedikit: Dalam banyak yang mendengar, sedikit kita jumpa yang belajar seni ini.
Jarang-jarang: Dalam sedikit yang kita jumpa belajar Seni Siku 12, jarang-jarang yang meneruskan pelajaran selepas menamatkan peringkat senaman.
Kadang-kadang: Hanya kadang-kadang yang kita akan jumpa seseorang yang mempelajari, menguasai seterusnya mewarisi keseluruhan sistem Seni Siku 12 yang merangkumi Senaman 12, Silat Halalintar dan Silat Pelaga termasuklah jurusan-jurusan seperti yang diterima oleh 5 orang murid terkenal Mamu Dada.

Rasanya setakat ini saja dapat saya kongsikan tentang sejarah ringkas pengasas dan juga mengenai Seni Silat Siku 12. Saya percaya,di dalam grup ini juga terdapat ramai pewaris dan juga pengamal Siku 12.
Sekiranya ada kesilapan dalam penceritaan saya ini,saya memohon jutaan maaf. Seperti yang saya katakan diawal tadi,saya bersumberkan kepada individu-individu yang saya percayai kreadibiliti dan kefahaman mereka tentang sejarah dan seni ini.
Jutaan terimakasih kepada beberapa orang pewaris dan juga pengamal Seni Siku 12 yang banyak membantu saya memberikan info dan fakta yang saya perlukan.Mereka-mereka ini datang dari berbagai jurusan Siku 12.

Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa mereka semua.Al-Fatihah kepada Dada dan juga pewaris-pewarisnya yang lebih dulu pergi meninggalkan kita namun tetap berjasa meninggalkan legasi keilmuan yang membanggakan negeri Pulau Pinang.
Semoga Allah menempatkan mereka dikalangan orang-orang yang mendapat pahala diatas ilmu yang memberi manfaat……JASA TIDAK BINASA.